TODAY A READER, TOMORROW A LEADER.SEKALI KU DAH MENCINTAI PUTERIKU SAMPAI KE HAYATKU KU AKAN MENCINTAI DAN MENYAYANGINYA. SEKALI KU DAH MELANGKAH KU TAK AKAN MENOLEH KEBELAKANG LAGI.

Monday, December 28, 2009

SOLAT PERANG


Cara-cara sembahyang khauf amat banyak tetapi Imam Shafie membahagikan sembahyang khauf kepada empat cara. Dalil yang menunjukkan sembahyang khauf itu disyariatkan ialah seperti firman Allah dalam Surah An Nisa’ ayat 102 yang bermaksud :

“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi Imam) mereka, maka hendaklah sekumpulan dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-sama, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing…………………”.

Apabila didapati musuh tidak berada disebelah arah Qiblat dan di sana ada dinding (kubu) dan tentera Islam lebih ramai daripada musuh (tanggapan). Maka untuk mendirikan sembahyang jamaah boleh dibuat dengan cara seperti berikut:

1. Cara berjamaah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah di sebuah tempat bernama ZATUR RIQA’ yang diceritakan oleh Buhkari dan Muslim.

2. Dibahagi kepada dua platun (kumpulan) yang sama banyak.

3. Tentukan tempat-tempat kawalan di sekitar tempat untuk berjamaah (jarak antara 20 - 30 meter).

4. Tentukan giliran platun untuk kawalan.

5. Platun satu akan berjamaah bersama imam pada rakaat pertama.

6. Bila imam masuk pada rakaat kedua di dalam keadaan qiam, semua makmum platun satu hendaklah niat mufaraqah (niat tidak mengikut imam dan selepas itu hendaklah mereka masing-masing menyempurnakan sembahyangnya disudahi dengan salam.

7. Selepas memberi salam (platun satu) terus pergi ke tempat kawalan platun dua dengan seberapa segera. Selepas itu platun dua pula akan tampil berjamaah dengan imam pada rakaat ke dua, dimana imam sedang menunggu mereka pada rakaat ke dua.

8. Pada rakaat ke dua imam hendakklah memanjangkan qiam (berdiri) dengan membaca surah yang panjang hingga dapat semua makmum platun dua menyempurnakan bacaan fatihah.

9. Apabila mereka selesai membaca fatihah , imam rukuk diikuti oleh semua makmum platun dua dan seterusnya meneruskan rukun-rukun yang lain.

10. Semasa imam membaca tahiyyat akhir (Solat Qasar) semua makmum platun dua meneruskan sembahyangnya bagi rakaat yang ke dua dengan tidak berniat mufaraqah, manakala imamnya pula sedia menunggu mereka dalam tahiyyat akhir.

11. Setelah semua makmum duduk tahiyyat akhir bersama-sama imam maka imam hendaklah menunggu hingga mereka habis membaca tahiyyat akhir kemudia barulah ia (imam) memberi salam dan diikuti oleh makmum.

Apabila didapati bahawa musuh tidak berada di sebelah arah qiblat dan di sana ada dinding (kubu) dan tentera Islam lebih ramai daripada musuh (tanggapan), maka untuk mendirikan sembahyang jamaah bolehlah dibuat dengan cara seperti berikut:

1. Cara berjamaah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah di sebuah tempat bernama BATNA AN NAHLA riwayat Buhkari dan Muslim.

2. Di buat dua platun (kumpulan) sama banyak.

3. Tentukan tempat kawalan di sekitar tempat berjamaah (antara 20 -30 Meter).

4. Tentukan giliran platun untuk kawalan.

5. Kumpulan yang pertama sembahyang bersama-sama Imam dan kumpulan yang kedua berjaga-jaga membuat kawalan .

6. Apabila selesai sembahyang kumpulan yang pertama terus menggantikan tempat kawalan kumpulan yang ke dua manakala kumpulan yang ke dua mendirikan sembahyang berjamaah dengan imam yang sama.

7. Sembahyang yang ke dua bagi imam tersebut adalah SUNAT, ataupun boleh juga dilantik imam salah seorang dari kumpulan yang ke dua.

Sekiranya musuh berada di sebelah arah qiblat dan tentera Islam lebih ramai dari musuh (tanggapan) serta di sana tiada apa-apa perlindungan (kubu) maka cara untuk mendirikan sembahyang jamaah boleh di buat mengikut perbuatan Rasulullah di sebuah tempat bernama ‘ASFAN - Riwayat Muslim. Cara melaksanakan adalah seperti berikut:

1. Di buat dua platun (kumpulan).

2. Tentukan kumpulan untuk kawalan di setiap rakaat secara bergilir.

3. Semua platun sembahyang berjamaah secara serentak.

4. Jadikan dua saf atau lebih.

5. Apabila Imam sujud maka saf pertama hendaklah sujud bersama-sama imam dan saf ke dua berdiri (I’TIDAL) menunggu/memerhati musuh. (Rukuk Bersama).

6. Apabila imam bangkit dari sujud bersama-sama saf yang pertama maka saf yang ke dua meneruskan sembahyang nya serta mendapatkan imam pada qiam dalam rakaat yang ke dua.

7. Apabila imam sujud pada rakaat yang ke dua maka saf yang ke dua akan sujud bersama-sama imam (dibolehkan bertukar tempat). Terus melakukan perbuatan sembahyang sehingga duduk tahiyyat akhir.

8. Saf pertama akan meneruskan sembahyang sehingga duduk tahiyyat akhir dan kedua-dua saf akan memberi salam bersama-sama imam.

Bagi sembahyang tiga rakaat (Maghrib) imam terus bangun untuk meneruskan sembahyang dalam rakaat yang ke tiga di ikuti oleh semua kumpulan/saf . Bagi tujuan kawalan dalam rakaat yang ketiga mana-mana kumpulan/saf boleh membuat kawalan dan tidak perlu menukar tempat.


PERINGATAN:

1. Harus sujud bersama imam pada rakaat yang pertama bagi saf yang kedua dan membuat kawalan saf yang pertama dengan tidak berpindah tempat.

2. Dan harus pula membuat kawalan satu saf sahaja pada setiap rakaat.

3. Semasa dalam peperangan samada sudah bertempur atau bertembung dengan musuh atau di dalam keadaan yang tidak aman, maka hendaklah sembahyang dengan berbagai-bagai keadaan samada berkenderaan/berjalan kaki dan dalam keadaan mengadap qiblat atau sebaliknya. Boleh dilakukan dalam apa keadaan sekalipun.

4. Dan sah berjamaah walaupun berlainan haluan atau makmum mendahului imam.

5. Sah sembahyang walaupun berlakunya pergerakan yang melebihi tiga kali berturut-turut.

6. Ketika sembahyang harus memegang senjata yang bernajis.

7. Tidak harus berkata-kata atau berteriak dan jika berlaku demikian sembahyang wajib di qadha’.

Sembahyang ketika cemas ialah sembahyang apabila terjadi atau takut-takut terjadi bencana-bencana yang boleh membinasakan diri seperti:

1. Takut binatang buas.

2. Takut banjir atau kebakaran.

3. Takut penyamun atau perompak.

4. Semasa ambush/serang hendap.

No comments:

Post a Comment